Rabu, 17 Februari 2010

YE...TAK MESTI BERARAK...ELOK ADALAH CERAMAH TENTANG RASULLULLAH SAW ITU SENDIRI

Bekas MB Kedah nafi dakwaan Mahfuz


Salhan K Ahmad
Feb 17, 10
3:25pm

Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mahazir Khalid menafikan kenyataan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa perarakan Maulidur Rasul di negeri itu telah dibatalkan sejak zaman pemerintahan Umno.

Sebaliknya, Mahazir berkata, kerajaan Kedah sewaktu pentadbiran Umno, tidak pernah membatalkan majlis perarakan tersebut.

Mengulas kenyataan Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Kita tidak pernah batalkan (perarakan). Semua program kita buat. (Mahfuz) kata begitu sebab dia tidak tahu (perkara sebenar).

"Dia cuma hendak selamatkan kawan dia yang di Pulau Pinang itulah," kata Mahazir ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mahfuz semalam berkata perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan sejak zaman pemerintahan Umno lagi di negeri itu.

Isu ini timbul berikutan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan satu program perarakan sempena sambutan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menjelas lanjut, Mahazir berkata, kerajaan Kedah sebelum ini membuat giliran untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di setiap daerah di negeri itu.

"Dulu, kita akan buat dua program, satu di dalam dewan dan satu lagi perarakan di luar. Kita tidak pernah batalkan perarakan.

"Sekarang ini (kerajaan Pakatan Rakyat Kedah) buat perhimpunan program di dalam dewan sahaja," katanya lagi.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir berkata isu berkaitan perarakan Maulidur Rasul itu timbul, ekoran soal kemampuan kerajaan negeri menganjurkan bentuk sambutan seperti itu.

Katanya, perarakan seperti itu secara tradisinya dianjurkan di peringkat pusat, manakala di negeri-negeri, bentuk sambutan lebih tertumpu di masjid-masjid masing-masing.

"Di Kedah saya tidak tahu jika diadakan perarakan. Tapi kita lebih banyak buat kenduri di masjid-masjid.

"Pada awalnya (perarakan) adalah untuk untuk mengumpulkan masyarakat Islam bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bajet untuk program ini daripada pejabat perdana menteri kerana mereka juga terlibat menganjurkannya," katanya.

Tambahnya, sambutan Maulidur Rasul itu tidak perlu disertai dengan perarakan sekiranya negeri-negeri tersebut tidak mampu menganjurkan program seperti itu.

"Yang mana negeri-negeri yang ada bajet, mereka anjurkan. Yang tidak ada bajet, tidak mahu buat pun tak apa, cuma isu ini jangan dipolitikkan," katanya.

Katanya lagi, isu tersebut juga tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana kumpulan politik, baik BN atau Pakatan Rakyat.

"Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh ditimbulkan. Saya tidak melihat surat-surat tersebut," katanya, merujuk kepada dokumen-dokumen yang disebut oleh ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan pembatalan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu.

Tambahnya, sambutan Maulidur Rasul juga boleh dijalankan dalam bentuk lain dan tidak semestinya melibatkan perarakan.

"Lebih baik lagi kalau buat kenduri dan anjurkan majlis ceramah agama di masjid-masjid. Ini memang diamalkan sejak lama lagi," tambahnya.



lagi


Perarakan tersasar



2010/02/28

TIMBUL sedikit pertikaian baru-baru ini apabila kerajaan Negeri Pulau Pinang disebut ingin membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan mereka.

Saya suka untuk mengulas amalan itu daripada perspektif bukan politik kepartian, tetapi melalui perspektif yang sedikit berbeza. Jika benar perarakan itu dibatalkan, adakah ia satu isu besar daripada sudut agama serta tanda tidak menghormati Nabi Muhammad SAW dan Islam? Seumur hidup, saya tidak pernah dan belum menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya tidak berhasrat membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan hukum mengenai perarakan seperti itu.


Saya kira hal ini setiap tahun akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk, menyemai titik kebencian di antara satu sama lain.


Saya ada pandangan dan pendirian dalam hal sama ada bid’ah atau tidak perarakan Maulidur Rasul, namun cukuplah memadai tulisan daripada mereka yang sudah mengulas panjang lebar. Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita sama-sama fikir dan fahami mengenai keutamaan atau yang ‘sepatutnya’ saja.


Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah.


Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda adalah satu kesilapan dalam pendekatan serta memahami keutamaan.

Justeru, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul atas alasan yang mereka yakini, aktiviti paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan baginda.


Contohnya, mengajak kepada tauhid Allah SWT dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan itu, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan serta hukuman jenayah.


Ruang ini yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda.


Kerana itu juga adalah inti dan kandungan perjuangan Rasulullah SAW yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.


Jika demikian, bagaimana cara untuk mengenengahkan semua itu kepada masyarakat? Sambutan Maulidur Rasul mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang lupa, mengukuh pegangan mereka yang sudah dan masih ingat serta memperbetul mereka yang tersasar daripada kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.


Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah SWT, juga syafaat baginda di akhirat.


Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian sambil selawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar anti klimaks serta TIDAK memberi manfaat daripada sudut akhiratnya, ditambah pula di ketika wujud pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa patut dibuat? Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan seperti program kuliah juga ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama. Kerana itu cara yang terulung dan paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur, meneguh selain memperbetul.


Memang benar, sebahagian besar perkara di atas menjadi amalan, namun yang perlu diubah adalah kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan klimaks sambutan Maulidur Rasul.


Sebaliknya ia hanya inisiatif kecil-kecilan pihak berkaitan, sedangkan ruang dan peluang dimiliki pihak pemerintah, sama ada negara atau negeri, menunjukkan mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.


Justeru, gunakan kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut di atas, jangan dibazirkan dengan sebuah perarakan tanpa mesej jelas. Biasanya, liputan program ceramah terlalu kecil berbanding perarakan.

Adalah lebih tepat jika kerajaan pusat menggunakan ruang televisyen untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah SAW. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta wajar menyumbang sedikit daripada keuntungan mereka untuk menaja program kesedaran di televisyen.


Itu yang sepatutnya berbanding menaja peraduan yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.


KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI Jika ingin menarik minat pelbagai latar belakang, muda dan tua, berpendidikan tinggi dan rendah, saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah SAW itu.


Konsert Islam seperti konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang menolak nasyid secara keseluruhan. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding perarakan berserta selawat tanpa ingatan dan nasihat.


Atau boleh juga kita menunjukkan syiar Islam dan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, yang perlu adalah duduk mendengar dan menghayati mesej penceramah berwibawa berserta selingan nasyid.


Majlis penganugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh disiar secara langsung di televisyen bagi menambah jangkauan liputan kepada mereka yang lebih suka berada di rumah. Hari berkenaan juga perlu disambut dengan usaha menutup pusat hiburan dan rancangan hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej daripada kebangkitan Rasulullah SAW.


Itulah tugas seorang pemimpin di semua peringkat, rumah tangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT.


Sabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga.” (Riwayat Muslim) Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai: “Dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga sehingga bauannya pun tidak diperoleh apatah lagi syurga itu sendiri).” KESIMPULAN Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia sudah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidak mampu menunaikan hak baginda Rasulullah SAW dan Islam itu sendiri.


Ia jelas tersasar daripada objektif utama perjuangan baginda. Yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.


Justeru, jika ada mana-mana negeri membatalkannya sekalipun lalu diganti dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.


Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda bersempena sambutan hari lahir baginda.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan