Sabtu, 20 Februari 2010

PASAL ROTAN

NUR AZLIN: Semak semula hukuman undang-undang sivil



Nur Azlin Mohamad Arif
Pandangan demi pandangan telahpun diutarakan pelbagai pihak dalam mematangkan hujah bahawa perlunya ada pembaharuan terhadap sistem penghukuman kesalahan-kesalahan jenayah sedia ada. Polemik terbaru rancak diperbahaskan adalah berkenaan dengan hukuman sebat yang telahpun dijalankan ke atas tiga pesalah wanita salah laku seks haram baru- baru ini.

Terdapat dua andaian yang boleh disimpulkan menerusi tindakan terbaru Datuk Seri Hishammuddin ini. Pertama, beliau mahu mengubah imej kerajaan di mata rakyat, bahawa kerajaan juga amat menitik beratkan dasar-dasar agama dalam pemerintahan. Sepertimana telah ditonjolkan menerusi perjuangan isu Allah dan Maulidur Rasul. Ia adalah berkenaan rentetan pembaharuan imej perjuangan Umno, iaitu ke arah bersifat lebih keagamaan berbanding sebelumnya.

Kedua, sengaja diwar-warkan hukuman ini, adalah umpama satu plot untuk mendapatkan maklum balas rakyat sebenar perihal sensitiviti hukuman sebat ke atas wanita sebelum ia benar-benar dilaksanakan ke atas Kartika. Sebagai satu eksperimen. Sister In Islam, menjuarai hal ini dalam memberi jawapan balas, di mana, jawapannya bersifat lebih kepada menentang. Beberapa NGO kemudiannya memberi jawapan sokongan terhadap perkara tersebut di mana ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengangkat kembali martabat mahkamah syariah biarpun hukuman sebatan yang dilaksanakan tidak lagi bersifat syarie sepenuhnya. Namun, ia adalah permulaan yang menyenangkan.

Menelusuri hal ini, Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) memuji keberanian Kementerian Dalam Negeri ini. Walaubagaimanapun, pandangan-pandangan pihak yang salah faham mengenai konsep sebatan berpaksikan hukum syariah ini terutama di kalangan bukan Islam tidak wajar dilepas pandang. Tohmahan bahawa ia seolah mengembalikan Malaysia ke zaman kelam terbeku di bawah kongkongan agama yang mundur sepertimana zaman Eropah suatu tika dahulu, wajar diberi pencerahan kefahaman melalui dialog terbuka.

Pihak kementerian juga disaran melakukan penyelidikan baik dari aspek sains dan sosial dengan lebih mendalam lagi berkenaan sebat syariah ini demi memperkemaskan hujah untuk meyakinkan umum akan kesan kebaikan yang bakal dinikmati menerusi hukuman ini sama ada oleh pelaku jenayahnya mahupun komuniti masyarakat amnya.

Sebagai contoh, merujuk laporan Malaysiakini, satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana. Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di pungung mampu merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.

Kepadatan penjenayah yang melampau iaitu 34,060 dalam 31 penjara seluruh Malaysia telah menyebabkan pihak kementerian yang sama juga terpaksa memikirkan bebanan baru iaitu berkenaan penempatan mereka. Statistik jenayah dan gejala sosial pula memperlihatkan pertumbuhan kadar jenayah tidak pernah susut.

Intipati yang dapat dirumuskan di sini adalah, masalah penempatan hanyalah “presented-problem” tetapi isu sebenar di sini adalah mengapa hukuman berteraskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak mampu untuk memberi kesan kesedaran dan keinsafan kepada orang lain agar tidak turut melakukan jenayah yang sama?

Di sini letaknya kepada keperluan penyemakan semula hukuman dalam peruntukan undang-undang sivil sedia ada dan perlunya kepada keterbukaan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih positif mengenai hukum sebatan dan hukum hudud lainnya di mana selama ini mereka hanya beriman dengan teori negatif yang terawang-awang tanpa pernah berani untuk bereksperimentasi!

Nur Azlin Mohamad Arif,

Koordinator Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS)

Gerakan Muslimah Sejagat adalah suara wanita-wanita muda yang mewakili pelbagai lapisan NGO di seluruh Malaysia.


lagi pasal sebat


Jangan terperangkap hukuman sebat wanita



Dr Dzulkefly Ahmad
PAS tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat yang sedang dimainkan Umno Barisan Nasional untuk menunjukkan mereka lebih ke hadapan dalam menonjolkan agenda Islam.

Ini ekoran hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas.

Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa mereka komited dengan Islam. Malaysia ditanggapi umum, khususnya media Barat, sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

Saya melihat ada semacam politik di sebalik penonjolan perkara (hukuman sebat) ini. Kita jangan terperangkap dalam kerangka pemikiran mereka (Umno-BN) ini.

Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya PAS berpendirian bahawa segala bentuk undang-undang syariah dan sistem perundangan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mesti dilaksanakan secara telus dan adil terhadap sesiapa jua yang melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan dan jantina.

PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan secara adil dan telus.

Dalam pada itu, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Dalam konteks negara ini, kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara.

Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat.

Sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ia harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

Orang yang dibicarakan itu mesti mendapat keadilan yang sewajarnya. Biar cukup bukti, baru boleh kenakan hukuman sebat. Jangan terus jatuhkan hukuman begitu sahaja. Diam-diam, tiba-tiba jatuhkan hukuman.

Namun apa yang lebih penting, PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa.

PAS menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini,perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip islam iaitu rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak.

Sehubungan itu, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa yang paling mustahak bagi pandangan PAS adalah terus membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan selama ini khususnya kezaliman yang bertentangan dengan syariah, dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih adil dan telus.


lagi pasal rotan




Seks haram: Hentikan 'wabak' merotan
Feb 18, 10 11:55am
Tindakan Jabatan Penjara merotan tiga perempuan Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram dianggap satu diskriminasi terhadap wanita.

Sisters in Islam (SIS) mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Dalam kenyataan akhbarnya hari ini, Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican (kiri) berkata memandangkan beberapa isu syariah berhubung perlaksanaan hukuman seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor yang masih belum selesai, tindakan kerajaan itu dipertikaikan.

“Dengan melaksanakan hukuman itu, secara tidak langsung, ia menggambarkan kerajaan cuba menyembunyikan layanan tidak adil dan memalukan ini daripada pengetahuan umum, katanya

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram).

Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini..

SIS menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (kanan) untuk segera bertindak bagi mengatasi masalah yang timbul akibat hukuman merotan itu dan juga kes Kartika.

Kerajaan juga, menurut beliau perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan.

'Rotan tidak efektif'

“Kajian juga menunjukkan merotan bukan hukuman yang efektif bagi menjamin kesalahan jenayah seksual atau keganasan tidak akan berulang,” katanya.

Turut membidas tindakan merotan oleh kerajaan ialah Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam).

Dalam kenyataan akhbarnya, Awam menuntut Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengapa hukuman dijalankan secara rahsia.

Presidennya, Sofia Lim Siu Ching berkata hukuman itu dijalankan dengan niat jahat dan bertentangan dengan kepentingan awam yang mendapat perhatian seluruh dunia.

"Menteri Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapa hukuman dijalankan tergesa-gesa sedangkan beberapa persoalan berhubung kes Kartika masih belum selesai," katanya.

Tamatkan 'wabak' merotan

Kumpulan hak

asasi manusia antarabangsa, Amnesty International (AI) juga mahukan Malaysia menamatkan segera apa yang dilabelkan mereka sebagai 'wabak merotan'.

AI juga mendakwa pihak berkuasa di negara ini telah merotan ribuan lelaki selain kes berprofail tinggi tiga wanita berkenaan.

Kumpulan yang berpangkalan di London itu berkata lebih 35,000 orang, kebanyakan mereka bukan rakyat Malaysia - dirotan atas kesalahan imigresen sejak 2002.

Menurut timbalan pengarah Asia-Pasifik AI, Donna Guest "ribuan kes berkenaan merujuk kepada wabak merotan yang mula berleluasa di Malaysia."

"Kerajaan Malaysia perlu menghapuskan hukuman merotan yang memang kejam dan zalim tanpa mengira apa jua kesalahan mereka," Katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Hukuman kuno

Majlis Peguam dengan keanggotan 13,500 ahli juga membidas tindakan merotan tiga wanita berkenaan.

Menurut badan perundangan itu, ahli-ahlinya telah meluluskan satu resolusi tiga tahun yang menolak sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana beranggapan ia hukuman kuno dan tidak selaras dengan konsep masyarakat penyayang.

Pendapat kami selaras dengan norma-norma hak asasi antarabangsa yang membantah hukuman merotan dan juga hukuman membabitkan bentuk jasmani yang dianggap kejam, tidak berperikemanusiaan serta memalukan.," kata pengerusinya, Ragunath Kesavan (kanan).

Tambahnya lagi, hukuman merotan ke atas wanita adalah juga bertentangan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

"Adalah memeranjatkan, kerajaan hanya mengumumkan perkara itu (merotan tiga wanita berkenaan) setelah hukuman sudah dilaksanakan," katanya juga dalam satu kenyataan akhbar hari ini.



lagi



Hukuman rotan syariah tidak melukakan


Abdul Hadi Awang
Ogos 26, 09
5:51pm

komentar Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.

Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!


Artikel ini diterbitkan sepenuhnya daripada kenyataan media Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.




lagi




Mufti: Sepatutnya dirotan 80 sebatan


Salhan K Ahmad
Ogos 26, 09
5:14pm

Hukuman yang dikenakan ke atas orang Islam yang diperuntukkan melalui undang-undang syariah masih tidak mencukupi, manakala masyarakat umum pula masih kabur dengan bentuk hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang digariskan.

Mufti Perak berkata, hukuman sebatan bagi kesalahan meminum arak yang rancak diperdebatkan kini di media "sepatutnya 80 kali sebatan".

"Sepatutnya kesalahan minum arak ini dihukum 80 kali rotan.

"Kalau setakat enam kali sebatan itu, apa yang nak diriuhkan?" kata Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

(Hukuman hudud yang ditetapkan bagi kesalahan mengambil alkohol menjadi perdebatan di kalangan ahli fekah, antara 40 hingga 80 kali sebatan).

Harussani diminta mengulas perdebatan hukuman sebatan terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno susulan keengganannya membuat rayuan, sementara pihak berkuasa pula menangguhkannya dengan alasan tiada kepakaran menyebat dari perspektif syariah.

Mengulas isu yang sama, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata hukuman terhadap seseorang yang mengambil alkohol pada sisi agama antara 40 hingga 80 sebatan.

"Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah.

"Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau, juga ahli parlimen Marang, berkata cara merotan pesalah dalam Islam jauh berbeza dengan hukuman sebat yang dijalankan untuk penjenayah bawah undang-undang negara sekarang.

"Mengikut Islam, sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain daripada memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

"Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya apabila sebatan dilaksanakan, tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak," katanya hari ini.

"Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja." [Baca juga: Hukuman rotan syariah tidak melukakan]

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pula berkata masyarakat umum masih tidak mempunyai kefahaman jelas tentang perundangan Islam sehingga kes-kes seperti yang melibatkan Kartika menjadi sensasi.

"Kalau kita lihat daripada kes ini sebagai asas, masyarakat Islam belum ada fahaman jelas mengenai undang-undang Syariah," kata presidennya Muhammad Razak Idris.

"Kefahaman sedia ada di kalangan masyarakat Islam tidak menyeluruh."

Beliau turut mempertahankan enakmen syariah sedia ada, namun hakim perlu menggunakan kebijaksanaannya sendiri untuk menjatuhkan hukuman supaya mengelak tanggapan negatif terhadap pelaksanaan undang-undang ini.

"Bentuk undang-undang syariah yang ada sekarang tidak bercanggah (dengan Perlembagaan Persekutuan) kerana ia sejajar dengan syarak dan prinsip Islam sebagai agama persekutuan.

"Namun, sekiranya mahkamah lihat hukuman perlu dinilai semula, kita sokong. Lagipun Kartika melakukan kesalahan buat kali pertama, jadi wajarlah kalau hukuman itu dinilai dan dikaji semula," katanya kepada Malaysiakini.

"Dari segi pelaksanaan hukuman ini ke atas Kartika, kita hormati keputusan mahkamah. Kita yakin hakim ada pertimbangan sendiri dalam mengadili kes berkenaan.

"Ini boleh menampakkan lagi kemuliaan syariat Islam supaya tidak dilihat beku atau jumud.

"(Kartika) sendiri sudah membuat pengakuan salah. Ini menunjukkan beliau telah insaf atas perbuatannya."






lagi




Sebat: Islam junjung tinggi keadilan


Dr Mahathir Mohamad
Ogos 25, 09
12:59pm

komentar Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum bir.

Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.

Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.

Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah.

Jika kerajaan tidak memperkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Apakah ada larangan dalam Islam untuk memperkanunkan undang-undang syariah?

Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini.

Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.

Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan: "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".

Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keislaman.

Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.

Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum bir (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.


Artikel pendek ini diterbitkan semula, sepenuhnya, daripada blog peribadi beliau Che Det.


lagi




Apa kata Mufti Perak terhadap Shahrizat?
Jebat Berani

Sebelum ini bukan main lantang lagi Mufti Perak,Tan Sri Harussani membidas Sisters in Islam(SIS) yang menyifatkan tindakan merotan tiga wanita islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sebagai diskriminasi terhadap wanita..

Tan Sri Harussani menyifatkan bahawa mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian bermaksud mereka tidak mempercayai hukum allah dan boleh dianggap sebagai terkeluar daripada islam.

''Orang seperti ini tidak faham hukum islam, mereka menentang dan membenci hukum islam kerana terpengaruh dengan orientalis barat yang menentang islam.

''Kalau hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak," katanya...

Dan apakah Tan Sri Harussani juga berani menegaskan pendapatnya itu bilamana berhadapan dengan seorang perempuan seperti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah berkata,walaupun beliau menghormati hukuman sebatan di bawah undang-undang syariah tetapi berpendapat Islam juga membolehkan pendekatan pemulihan dan kaunseling.”

Apakah Tan Sri Harussani berpendapat apa yang dinyatakan Shahrizat ini tidak salah? Dan jika beliau berpendapat kenyataan Shahrizat ini salah apakah tindakan beliau?

Kemana perginya ketegasan beliau? Apakah beliau telah diserang penyakit "bisu"sepatutnya Tan Sri Harussani perlu berani menegur kenyataan Shahrizat ini sebagaimana beliau lantang mengkritik SIS.

Atau apakah Tan Sri Harussani bimbang kedudukan beliau akan tergugat jika menghentam kenyataan Shahrizat ini.?

Apakah Harussani lebih pentingkan kedudukan berbanding maruah agama yang beliau anuti? Tan Sri Harussani perlu berlaku adil dalam memberikan teguran kepada mana-mana pihak.



lagi


Ustaz Umno tolong nasihatkan Shahrizat
Angkasanuri

Isu sebat masih belum reda lagi. Isunya bukan berkaitan isu pelaksanaan hukuman sebat mengikut peruntukan syariah yang sebenar tetapi berkaitan dengan isu sebatan mengikut enakmen undang-undang Islam negeri-negeri yang sebenarnya tidak menepati kehendak seperti termaktub dalam landasan syariat sebenar .

Apa-apapun, isu sebatan ini sekurang-kurangnya menjadi mukadimah kepada pelaksanaan syariat seperti yang dituntut dalam Islam. Namun apa yang lebih menjegilkan, isu sebatan ini mendapat tentangan dan kritikan bukan daripada orang bukan Islam tetapi daripada 'ustazah-ustazah' Umno yang jambul terjojol keluar dan kain terbelah tepi.

Ada di kalangannya yang berlindung di sebalik nama NGO seperti Sister In Islam. Tetapi kita tahu SIS ini merupakan 'perwakilan tetap' setiap kali dalam perhimpuan Wanita Umno saban tahun.

Salah seorang penyokong kuatnya, tak lain tak bukan ialah Datuk Shahrizat Jalil, Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Dalam satu kenyataan semalam beliau sekali lagi mempertikaikan hukuman sebat yang telah dilaksanakan oleh Penjara Kajang terhadap tiga orang wanita yang berzina.

Cuma kenyataannya mungkin sedikit 'berlapik' apabila meminta mereka yang bersalah ini diberi permulihan seperti kaunseling.

Kalau itu kaedahnya maka selepas ini saya mengesyorkan agar hakim-hakim di mahkamah syariah di negara ini tidak lagi menjatuhkan hukuman sebaliknya memadai dengan dijatuhkan hukuman mengikuti sesi kaunseling. Kalau tak cukup kaunselor, hakim sendiri pun boleh jadi kaunselor juga!

Maka selepas ini orang Islam negara ini tak kisah dan tak takut-takut lagi nak berzina, berjudi dan minum arak kerana mereka tidak lagi akan disebat, denda atau penjara cukup sekadar mengikuti sesi kaunseling untuk menebus dosa-dosa mereka.

Maka akan meriahlah nanti bilik-bilik kaunseling dengan tangisan dan jeritan anak-anak zina yang bersama dengan ibu mereka mengikuti sesi kaunseling.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan