Sabtu, 30 Januari 2010

GERHANA MENUNJUKKAN KEBESARAN ALLAH SWT DAN ADANYA SOLAT SUNNAT GERHANA

PESONA

Gelagat ketika gerhana

Suatu ketika dahulu gerhana matahari menjadi ketakutan dunia kerana wujudnya pelbagai mitos menakutkan. Hari ini gerhana matahari disambut seperti satu pesta.


FENOMENA gerhana matahari menjadi satu festival unik di seluruh dunia.


GERHANA matahari adalah fenomena semesta yang jarang sekali berlaku. Kegelapan yang dialami di rantau tertentu di bumi sebenarnya adalah laluan bayang-bayang bulan, lantaran cahaya matahari yang terhalang olehnya.

Ini bermakna, gerhana matahari berlaku apabila matahari, bulan dan bumi berada dalam kedudukan sebaris. Bulan akan terletak di tengah-tengah antara matahari dan bumi.

Jenis gerhana yang biasa berlaku adalah apabila kedudukan bulan berganjak sedikit menjauhi titik nod, jadi sebahagian cakera bulan menutupi matahari.


AHLI puak Masai di Kenya ini menggunakan gogel khas untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari.


Ekoran daripada fenomena yang berlaku pada pertengahan bulan lalu, dan ditambah dengan laporan awal dalam media, khalayak di seluruh dunia tentu tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya.

Kejadian gerhana disaksikan melalui pelbagai cara dan tafsiran. Tidak hairanlah jika segelintir masyarakat di Asia menjadikan hari berlaku gerhana sebagai hari yang paling bermakna.

Di India misalnya, penduduk di sana telah menjadikan hari berlaku gerhana dengan melakukan ritual berjalan di laluan sempit di kota suci, Varanasi. Ada ramai lagi yang membasahkan diri dalam Sungai Ganga sambil melagukan kata-kata, Hare Ram berulang kali.


DUA orang sami muda tidak melepaskan peluang melihat fenomena yang jarang berlaku itu.


Sementara itu, penduduk di China turut tidak melepaskan peluang menyaksikan kejadian gerhana matahari. Beberapa kawasan di dunia termasuk di selatan China, selatan India, Sri Lanka dan Myanmar menyaksikan gerhana matahari penuh.

Mereka meraikannya dengan berkumpul di sepanjang benteng bandar perindustrian, Wuhan. Di mana-mana pun, lokasi yang biasa serta-merta berubah seperti pesta!

Mitos


KIRI ATAS : SEORANG warga emas di Taiwan teruja melihat fenomena gerhana matahari, KANAN ATAS : SAKSI lucu seorang lelaki di India yang berbaring di atas tanah,KIRI BAWAH : PENGGUNAAN alat yang betul mengelakkan mata daripada rosak ,KANAN BAWAH : SEORANG lelaki di India menggunakan peluang 11 minit menyaksikan gerhana matahari .


Tidak ketinggalan juga, ada yang telah merencana agenda lebih awal untuk mengunjungi destinasi yang menawarkan perkhidmatan mencerap gerhana. Selalunya, lokasi-lokasi khas itu menyediakan peralatan cerapan canggih yang memberi imej lebih jelas dan selamat.

Tidak kira pelancong atau penduduk setempat di benua mana pun di atas muka bumi ini, masing-masing tidak akan melepaskan peluang mendapatkan sekurang-kurangnya cermin mata gelap untuk melihat bentuk matahari yang luar biasa.

Di sebalik kisah gerhana, ada juga cerita mitos mengenai fenomena itu. Di Jepun, mereka percaya bahawa waktu gerhana matahari mempunyai racun yang akan tersebar ke bumi. Maka, untuk menghindarkan air di bumi daripada terkena racun, mereka menutup perigi-perigi mereka.

Mitos gerhana matahari juga meluas ke Eropah. Dikhabarkan, Raja Louis dari Perancis meninggal dunia setelah mengamati gerhana matahari. Kononnya, punca kematian beliau adalah kerana begitu tertekan dan takut ketika kegelapan selama lima minit.

Namun, rata-rata masyarakat moden pada masa kini kurang mempercayai mitos yang pernah disampaikan oleh nenek moyang mereka. Sebaliknya, masyarakat menjadikan hari gerhana itu sebagai satu festival yang dikongsi masyarakat seluruh dunia.

Bagaimanapun, semua orang diingatkan supaya tidak melihat gerhana matahari secara terus kerana pendedahan yang lama mampu merosakkan bahagian sensitif dalam mata.

Antara alat yang digunakan untuk mencerap gerhana termasuklah teleskop dengan penuras suria, skop solar, projektor pinhole dengan kotak panjang atau dua keping kadbod, serta kamera pinhole dengan pokok teduh dan kaca mata gerhana.

Ada sesiapa terlepas peluang baru-baru ini untuk menyaksikan fenomena hebat itu? Untuk ulangan fenomena tersebut, saintis meramalkan gerhana matahari penuh akan berlaku sekali lagi pada tahun 2042.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan