Rabu, 8 Mei 2013

BERSATU DAN BERBAIK2 ITU YANG DITUNTUT DALAM ISLAM...KITA BERKONGSI NEGARA DAN DUNIA...YANG DIPINJAMKAN OLEH ALLAH...SAMPAI MASA ALLAH MUSNAHKAN@KIAMATKAN...DIHIMPUN PULA DIPADANG MAHSYAR AKAN DIHISAB AMALAN2 KITA DUNIA...SAMA KITA TUNGGU

Politik perkauman: Pihak berkuasa diminta laksana tanggungjawab

Harakahdaily, 07 Mei 2013


(Laporan muka depan Utusan hari ini)

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan semua pihak pengamal politik dan terutamanya media untuk tidak membuat kenyataan beremosi kaum yang boleh menimbulkan kegelisahan antara kaum.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam kenytaaannya berkata, tiada siapa yang patut menuding jari pada mana-mana kaum semata-mata mereka tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13.

"PAS menggesa pihak berkuasa segera melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melindungi rakyat daripada provokasi daripada golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja mengapi-apikan api perkauman," kata Mustafa dalam kenyataannya.

Hari ini akhbar Umno Utusan Malaysia menyiarkan laporan muka depan dengan tajuk 'Apa lagi Cina mahu' manakala semalam Datuk Seri Najib dalam kenyataannya berkata, pilihan raya kali ini 'tsunami Cina'.

Bagi PAS, apa yang berlaku di PRU13 ialah penolakan secara umum daripada semua golongan terhadap BN.
Disebabkan itu, BN tewas undi popular buat kali pertamanya dalam sejarah, tegas beliau.

Ini jelas kerana 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih PR di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN mengikut data yang dikeluarkan SPR semalam.

Hanya pihak yang tidak bertanggungjawab sahaja yang ingin melihat fenomena menolak BN ini dari sudut perkauman, katanya.

Polis tahan Papagomo dan King Jason

Harakahdaily, 07 Mei 2013

(Blogger Papagomo)

KUALA LUMPUR: Blogger Papagomo dan King Jason ditangkap oleh polis bagi membantu penyiasatan mereka ekoran posting yang mereka buat dalam laman-laman blog mereka.

Papagomo blogger pro Umno memasukkan laporan mengenai perkauman dengan mengugut untuk mengambil tindakan kepada orang Cina.

King Jason pula banyak mendedahkan laporan mengenai penipuan dalam pilihan raya kali ini. Antaranya rancangan membawa pengundi asing dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dengan kapal terbang sewa khas.

Pengumuman penangkapan mereka dibuat melalui twitter yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini blogger pro PKR, Milo Suam ditahan oleh polis menjelang pilihan raya.

Beliau ditangkap ekoran penyiaran gambar kertas undi pos.

NUJ kutuk laporan Utusan

Harakahdaily, 07 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mencela Utusan Malaysia menonjolkan tajuk 'Apa Lagi Cina Mahu?' dan dua gambar perhimpunan aman orang tempatan di Taiwan dan Mid Valley Megamall di muka depan pada hari ini.

NUJM amat kecewa dengan pembentangan berita tersebut, kerana ia amat memesongkan pembaca dan berunsur provokatif, kata kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat NUJ hari ini.

Sebagai sebuah akhbar Melayu arus perdana, Utusan Malaysia tidak harusnya memainkan isu perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir," kata kenyataan itu.

Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik.

Maka, NUJM mencela Utusan Malaysia menyembunyikan agenda di sebaliknya, dan tidak menjunjung etika kewartawanan, serta tidak neutral dalam melaporkan isu berkenaan.

Sebenarnya, pemimpin negara mengelar keputusan PRU13 sebagai "Tsunami Cina" adalah tidak tepat sama sekali. Malah, para pengulas politik dan statistik telah membuktikan PRU13 adalah "Tsunami Bandar" (Urban Tsunami).

Berita Utusan Malaysia ini seolah-olah mengungkitkan ketegangan hubungan antara kaum, bukan sahaja sengaja menimbulkan kecurigaan antara kaum, malahan mendalamkan salah faham antara kaum, kata kenyataan itu.

Pilihan raya merupakan satu proses demokrasi.  Media sebagai alat komunikasi, harus menegakkan dan memartabatkan etika kewartawanan, melaporkan kebenaran, dan bukannya memainkan isu perkauman.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Semua kaum hidup dalam keharmonian, kerana kita mengamalkan sikap saling bertolak-ansur, mengambil berat dan menghormati.

NUJM mengingatkan pengusaha industri media agar menghargai semangat perpaduan dan keharmonian yang disanjungi.

Media bertanggungjawab untuk mengukuhkan perpaduan rakyat, dan bukannya menggunakan taktik kotor untuk mencapai agenda bersembunyi.

Pasca PRU-13: Bersedia hadapi gerrymandering

Mohamed Hadi al-Majwi,
Saudara pengarang,

Rasanya cukup-cukuplah pendokong Pakatan Rakyat (PR) berdukacita dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Betul, sebenarnya PR telah menang undi popular di peringkat parlimen, tetapi kerana kekangan sempadan kawasan-kawasan parlimen, kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR dengan majoriti puluhan ribu undi tidak boleh memberi 'subsidi' kepada kerusi-kerusi yang PR tewas dengan majoriti yang sangat kecil seperti Cameron Highlands, Pasir Gudang, Bentong dan Kuala Selangor.

Parlimen Kapar yang mempunyai 144 ribu pengundi adalah sama ramai komposisinya dengan empat kawasan parlimen di pedalaman yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Itulah hakikatnya yang perlu kita telan.

Seruan saya kepada semua pendokong PR, ayuh, hentikan segala kesedihan. Terus mara menuju PRU-14. Kita tidak tahu berapa jangka hayat parlimen kali ini, mungkin sepanjang 5 tahun atau mungkin sesingkat 3 tahun.

Siapa yang menjadi Perdana Menteri pada waktu pembubaran parlimen nanti pun kita belum tahu. Kalau PRU-14 berlangsung pada 2016, bersediakah PR untuk membetulkan segala kelemahan yang ada? Perpecahan dalaman, perbalahan terbuka, kempen yang tidak menyeluruh, dapatkah dibaiki segera?

Saya ingin mengingatkan semua pendokong PR bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya mesti dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun ini juga.

Tempoh masa 10 tahun yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak persempadanan terakhir pada tahun 2003 akan tamat tahun ini. Akan selamatkah kerusi-kerusi PR pada PRU-14 nanti?

Seperti yang kita tahu, persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah taktik kotor terhormat yang digunakan oleh BN untuk memotong-motong sempadan pilihan raya mengikut manfaat BN.

Pasca PRU pada tahun 1999, kawasan majoriti Melayu telah dipecah-pecahkan komposisinya menjadi kawasan campuran yang dikira akan memberi manfaat kepada BN. (Faktor ini rupa-rupanya menikam BN semula pada PRU 2008 dan 2013).

Kerusi majoriti Melayu di parlimen Yan telah ditambah dengan pengundi Cina setelah Dun Gurun (kerusi campuran) dipindahkan dari parlimen Merbok.

Kerusi majoriti Melayu di Baling juga telah ditambah dengan pengundi Cina setelah Dun Kuala Ketil (kerusi campuran) dipindahkan dari parlimen Padang Serai. Tidak termasuk lagi taktik jijik SPR yang langsung tidak menambah kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri 'Malay belt' iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sedangkan hampir kesemua negeri menyaksikan pertambahan kerusi parlimen. Taktik kotor terhormat inilah yang lazim disebut sebagai gerrymandering.

Kini, taktik terhormat yang penuh keji ini akan diulang semula. Bersediakah kita menghadapinya? Setelah apa yang berlaku pada PRU-13, adakah BN akan memastikan sempadan pilihan raya dipotong-potong semula untuk memperbanyakkan lagi kerusi majoriti Melayu di luar bandar dan dalam masa yang sama kerusi-kerusi campuran di bandar akan dikekalkan saiz dan kompisisinya untuk mengekang pengaruh PR?

Jangan kita lupa, Seksyen 10, Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa perintah persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya memerlukan separuh sokongan ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna BN hanya memerlukan 113 ahli parlimen sahaja untuk meluluskan perintah persempedanan semula kawasan pilihan raya untuk PRU-14.

Perkara inilah yang pemimpin dan penyokong PR perlu renungi sedalam-dalamnya. Tidak guna kita kesali "ketidakmenangan" PRU-13 kerana kalau PR menang sekali pun apalah gunanya jika kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan yang lemah dari segi bilangan kerusi.

Meminjam kata-kata yang dipetik dari YB Saari Sungib (yang dipetik dari sahabatnya), lebih baik menjadi pembangkang yang kuat daripada menjadi kerajaan yang lemah.

Lakukan segera bedah siasat PRU-13, terus bertindak melawan fitnah perkauman yang dinyalakan oleh BN sekarang. Jika kita sibuk berkabung dan meratap sahaja, kita akan ditinggalkan oleh musuh kita jauh di hadapan.


Sekian, terima kasih.

Nasrudin ajak Saifuddin sertai panel Temerloh

Harakahdaily, 07 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh yang baru Nasrudin Hassan hari ini membayangkan mahu mengajak bekas lawannya Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama sebagai anggota panel perunding untuk parlimen itu yang akan ditubuhkan.

Menurut Nasrudin, panel tersebut akan memperincikan idea pembangunan Temerloh di bawah tema "Temerloh Daerah Berkebajikan".

"Saya akan tubuhkan Panel Perunding "Temerloh Daerah Berkebajikan" dan bercadang untuk menjemput sahabat saya Datuk Saifuddin Abdullah menyertainya agar turut sama menyumbang idea kearah pembangunan rakyat dan kemajuan daerah Temerloh.

"Mudah-mudahan Datuk Saifudin tidak menghampakan saya dan rakyat Temerloh," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Mewujudkan panel perunding "Temerloh Daerah Berkebajikan" adalah merupakan salah satu tawaran dalam manifesto Nasrudin pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Dalam keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, Nasrudin mewakili PAS berjaya memenangi parlimen Temerloh.

Beliau mendapat 28,267 undi mengatasi calon BN Saifuddin Abdullah yang memperoleh 27,197.

Ikram persoal kesahihan keputusan PRU13

Harakahdaily, 07 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi Malaysia yang telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan aman.

Dengan peratusan keluar mengundi lebih 80%, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU di negara ini, kesedaran politik rakyat Malaysia tentunya sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

“Mereka sudah faham apakah itu erti kuasa rakyat,” kata Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, katanya Ikram mengambil perhatian berat terhadap kemungkinan berlakunya proses pengundian yang meragukan, malahan bertentangan dengan undang-undang sehingga menjadikan PRU13 dilihat bukannya satu proses demokrasi yang bebas dan adil.

Tambahnya, Ikram mengambil maklum perihal beberapa isu seperti publisiti media yang berat sebelah, masalah dakwat kekal yang mudah dibasuh, proses pengundian yang meragukan serta pengundian awal dan pengundian pos yang tidak telus dan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Katanya, ketelusan institusi yang bertanggungjawab khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi tanda tanya, diragui serta dicemari.

Sehubungan itu, ujar beliau Ikram mempersoalkan kesahihan keputusan yang telah dimaklumkan dan menuntut SPR memberi penjelasan kepada setiap isu keraguan yang ditimbulkan sebelum ia dapat diterima sewajarnya.

Justeru, tegasnya Ikram menggesa Pakatan Rakyat memilih pendekatan aman, melalui tindakan undang-undang atau perhimpunan aman.

“Pengalaman PRU13 ini menguatkan lagi tekad Ikram untuk terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau menegaskan, jangan sesekali memandang kecil kuasa dan pengaruh rakyat jelata Malaysia.

Tiada ulasan: